NBA Ledang Foodstuff adalah sebuah perniagaan IKS di Bukit Kangkar ,Sungai Mati Tangkak Johor. Terkenal dengan perniagaan kerepek , kuih tradisional, kordial, sabun , pes masakan dan pelbagai lagi produk IKS setempat, dengan ini secara tidak langsung meningkatkan pendapatan dan jualan produk-produk IKS penduduk setempat yang bernaung dibawah NBA Ledang Foodstuff. Jika pengunjung ingin berkunjung ke kedai kerepek NBA Ledang Foodstuff juga mempunyai nama komersial lain iaitu “Kepek Jaman Nau”. Kepek Jaman Nau adalah tag line mereka untuk lebih dekat dengan masyarakat dan lebih santai juga senang diingat oleh penduduk setempat.

Perniagaan ini telah ditubuhkan oleh En Nordin Bin Ashari pada tahun 2005. Disini kerepek dari pembekalkan di bungkus semula dan akan dijual semula mengikut saiz dan kehendak pengguna. Pembungkusan semula kerepek juga mempunyai teknik dan cara yang tertentu mengikut kerepek. Disinilah tempat pembungkusan dan penyimpanan kerepek yang dilakukan oleh pekerja-pekerja NBA.

NBA Ledang dan Foodstuff juga ada mengeluarkan produk sendiri iaitu bahulu. Disini terdapat bahulu gulung dan bahulu cermai yang dibuat sendiri oleh anak sulung En Nordin, Nurul Aini binti Nordin (30). Mempunyai alatan dan kelengkapan pembuatan bahulu yang lengkap membolehkan bahulu dibuat tanpa memelukan tenaga kerja yang ramai dan lebih mudah dan cepat.

Hasil jualan setahun NBA Ledang Foodstuff boleh mencecah jutaan ringgit , tetapi lumrah berniaga pastinya akan ada ujian dan cabaran. Pada tahun kemunculan wabak penyakit Koronavirus (Covid 19) iaitu pada akhir tahun 2019, NBA terpaksa menutup perniagaan bagi sama-sama membanteras wabak ini. NBA telah mengalami kerugian teruk sekitar RM 150,000.00 barangan terpaksa dibuang begitu sahaja kerana telah rosak dan lemau. Pada tahun 2021 perniagaan baru mula meningkat kembali walaupun dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi peningkatan jualan itu tidak berpanjangan kerana pada pertengahan bulan puasa kerajaan mengarahkan agar semua premis menutup kembali preniagaan. Jika dikira pendapatan tahunan NBA pada tahun berlakunya pandemik ini telah berkurangan sebanyak 50-60% daripada jualan tahunan sebelum PKP.
BIODATA PEMILIK

Nordin bin Ashari telah dilahirkan pada 7 Januari 1961 , telah mendirikan rumahtangga bersama Zaini binti Hassan dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. Anak kelahiran Ledang Johor ini merupakan kebanggaan keluarga dan penduduk setempat malah telah menaikan nama Ledang dalam pemasaran kerepek dan pelbagai produk sampingan lain. Beliau adalah seorang yang sangat rajin dan berani mengambil risiko. Beliau bermula dengan hanya berniaga dipasar malam menjual pelbagai jenis produk dan terus mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai makan. Menurut sumber, beliau seorang yang sangat rajin sehinggakan beliau pernah membuat 10 kerja dalam satu masa antaranya menjual insurans, pasar malam, kedai makan, mengambil tender kerajaan, nursery dan macam -macam lagi perniagaan yang beliau ceburi. Beliau seorang yang sangat berani mencuba dan sangat bersemangat dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
Semasa menemuramah anak beliau Nurul Farida (20) dipejabat mereka, terdapat banyak sijil penghargaan dari pelbagai agensi dan institusi. Melihat banyaknya sijil dan plak penghargaan sahaja dapat kita mengetahui bahawa En Nordin seorang yang sangat aktif dalam aktiviti sehariannya Bersama agensi-agensi yang berkaitan.

Lebih terinspirasi dengan kisah kejayaan En Nordin, beliau memulakan dan mengembangkan perniagaannya dengan bermodalkan hasil titik peluh sendiri. Hasil dari kerja-kerja yang dilakukan oleh En Nordin. Seperti usahawan-usahawan lain ,beliau juga mendapat bantuan dari kerajaan RM 65,000.00 untuk pembinaan bangunan. En Nordin juga telah membuat pinjaman dari Bank Rakyat dan Agrobank untuk membeli tanah serta membesarkan lagi bangunan premis mereka. Dari segi peralatan, mesin dan lain-lain barangan untuk tujuan operasi adalah 100% bermodalkan hasil keringat sendiri.
Menurut isteri beliau Zaini binti Hassan , En Nordin yang mencari sendiri pengeluar dan akan mengambil sendiri stock sama ada bersamanya atau bersama pekerja. Beliau mahu melihat sendiri tempat dan barangan tersebut. Suaminya juga dikatan seorang yang sangat peramah dan suka bercerita, jika bersama pekerja En Nordin tidak pernah berkira malah menjadikan pekerjanya sebahagian dari keluarga besar. Setiap bulan pasti ada ganjaran untuk pekerja seperti membawa mereka makan di tempat yang pekerja sendiri mahukan malah pada setiap tahun akan diadakan familyday yang mana pekerja akan dibawa pergi melancong.

Nordin bin Arshad dalam kenangan
Semasa temuramah ini berlangsung pada 16 April 2022, En Nordin baru meninggal dunia pada 28 Mac 2022 akibat kanser hati. Kesedihan itu sangat dirasakan oleh isteri En Nordin kerana sepanjang kehidupan rumahtangga beliau mereka selalu melakukan aktiviti bersama ,sama ada dirumah dan sepanjang berpuluh tahun memajukan aktiviti perniagaan sehingga ke tahap ini. Semoga keluarga ini terus kuat dan dapat memajukan perniagaan ini bersama-sama. Salam takziah dari kami buat seluruh ahli keluarga, semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Al -Fatihah
sumber dari : Nurul Farida (anak) & Zaini binti Hassan (Isteri)
